:: 11 JENIS MANUSIA DIDOA MALAIKAT ::
1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang tidur dalam keadaan
suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan
bangun hingga malaikat berdoa: "Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan
kerana tidur dalam keadaan suci."
2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat.
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Tidaklah salah seorang antara
kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci,
kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya: 'Ya Allah, ampunilah ia. Ya
Allah sayangilah ia.'"
3. Orang yang berada di saf depan solat berjemaah.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan
malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan."
4. Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah (tidak membiarkan kekosongan di dalam saf).
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan
malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf."
5. Kalangan malaikat mengucapkan 'amin' ketika seorang imam selesai membaca al-Fatihah.
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Jika seorang imam membaca...(ayat
terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu 'aamiin'
kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia
akan diampuni dosanya yang lalu."
6. Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Kalangan malaikat akan selalu
berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat
solat, di mana ia melakukan solat."
7. Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah.
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Kalangan malaikat berkumpul pada
saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari
(yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan
malaikat pada siang hari tetap tinggal.
"Kemudian mereka
berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada
siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang
bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada
mereka: "Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?"
Mereka
menjawab: 'Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami
tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah
mereka pada hari kiamat.'"
8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Doa seorang Muslim untuk
saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya
adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat
yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya
dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata 'aamiin dan engkau pun
mendapatkan apa yang ia dapatkan.'"
9. Orang yang membelanjakan harta (infak).
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Tidak satu hari pun di mana pagi
harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya,
satu antara kedua-duanya berkata: 'Ya Allah, berikanlah ganti bagi
orang yang berinfak...'"
10. Orang yang sedang makan sahur.
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan
malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur."
11. Orang yang sedang menjenguk (melawat) orang sakit.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Tidaklah seorang mukmin
menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat
untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan
di waktu malam hingga Subuh."
No comments:
Post a Comment