:: Kasih Seorang Ibu ::
“Nurse, boleh saya tengok bayi saya?” ibu muda yang baru bersalin itu
bersuara antara dengar dan tidak kepada seorang jururawat.
Sambil tersenyum jururawat membawakan bayi yang masih merah itu. Si ibu
menyambut dengan senyum meleret. Dibuka selimut yang menutup wajah comel
itu, diciumnya berkali-kali sebaik bayi tersebut berada dipangkuan.
Jururawat kemudian mengalihkan pandangannya ke luar tingkap. Tidak
sanggup dia bertentang mata dengan si ibu yang terperanjat melihat
bayinya dilahirkan tanpa kedua-dua cuping telinga.
Namun
gamamnya cuma seketika. Dakapan dan ciuman silih berganti sehingga bayi
yang sedang lena itu merengek. Doktor bagaimanapun mengesahkan
pendengaran bayi itu nor! mal, sesuatu yang cukup mengembirakan si ibu.
Masa terus berlalu…
Pulang dari sekolah suatu tengahari, anak yang tiada cuping telinga itu
yang kini telah memasuki alam persekolahan menangis memberitahu
bagaimana dia diejek rakan-rakan. “Mereka kata saya cacat,” katanya
kepada si ibu.
Si ibu menahan sebak. Dipujuknya si anak dengan
pelbagai kata semangat. Si anak menerimanya dan dia muncul pelajar
cemerlang dengan menyandang pelbagai jawatan di sekolah. Bagaimanapun
tanpa cuping telinga, si anak tetap merasa rendah diri walaupun si ibu
terus memujuk dan memujuk. Ayah kanak-kanak itu bertemu doktor. “Saya
yakin dapat melakukannya jika ada penderma,” kata pakar bedah.
Bermulalah suatu pencarian bagi mencari penderma yang sanggup berkorban.
Setahun berlalu…
“Anakku, kita akan menemui doktor hujung minggu ini. Ibu dan ayah telah
mendapatkan seorang penderma, tapi dia mahu dirinya dirahsiakan, ” kata
si ayah. Pembedahan berjalan lancar dan akhirnya si anak muncul sebagai
manusia baru, kacak serta bijak. Pelajarannya tambah cemerlang dan rasa
rendah diri yang kerap dialaminya hilang.
Rakan-rakan memuji
kecantikan parasnya. Si anak cukup seronok, bagaimanapun dia tidak
mengabaikan pelajaran. Pada usianya lewat 20-an, si anak menjawat
jawatan tinggi dalam bidang diplomatik.
“Sebelum saya berangkat
keluar negara, saya ingin tahu siapakah penderma telinga ini, saya
ingin membalas jasanya,” kata si anak berkali-kali. “Tak mungkin,” balas
si ayah. “Perjanjian antara ayah dengan penderma itu masih berjalan.
Tunggulah, masanya akan tiba.” “Bila?” tanya si anak.
“Akan
tiba masanya anakku,” balas si ayah sambil ibunya mengangguk-angguk.
Keadaan terus kekal menjadi rahsia bertahun-tahun lamanya.
Hari
yang ditunggu tiba akhirnya. Ketika si anak berdiri di sisi keranda
ibunya, perlahan-lahan si ayah menyelak rambut ibunya yang kaku.
Gelap seketika pandangan si anak apabila melihat kedua-dua cuping telinga ibunya tiada.
“Ibumu tidak pernah memotong pendek rambutnya,” si ayah berbisik ke
telinga anaknya. “Tetapi tiada siapa pernah mengatakan ibumu cacat, dia
tetap cantik, pada ayah dia satu-satunya wanita paling cantik yang
pernah ayah temui. Tak percaya… tanyalah pada sesiapa pun kenalannya.”
No comments:
Post a Comment