Sunday 31 July 2011

SENYUMLAH......:)

SESUDAH penat bekerja seharian, menghadiri pelbagai mesyuarat dan lawatan tapak malah terpaksa pula berhempas pulas di dalam kesesakan lalu lintas, mungkin sama ada kita sedar atau tidak perkara yang paling bermakna ketika sampai di rumah adalah menerima senyuman paling manis daripada orang tersayang.


Mungkin ia hanya sekadar senyuman yang diukir sebagai tanda gembira kita selamat tiba di rumah namun setelah segala hiruk pikuk yang berlaku sepanjang hari, senyuman itulah yang menyejukkan hati sekaligus menenangkan jiwa yang kusut sebelumnya.

Begitu juga kebanyakan kita yang sering memulakan hari dengan muka masam mencuka, bersikap agresif tidak tentu pasal ataupun memarahi pekerja bawahan tanpa kesalahan yang nyata sekaligus membuatkan perkara kecil pun menjadi satu isu besar.

Keadaan pasti berbeza jika perkara sebaliknya berlaku dan hanya dengan senyuman ikhlas mampu membuatkan masalah besar diselesaikan dengan muafakat.

Pasti ramai yang terlepas pandang betapa pentingnya peranan senyuman dalam hidup kita, mungkin kerana ia berlaku secara spontan dan percuma tanpa bayaran namun yang pasti nilainya begitu berharga tiada tandingan.

Kuasa

Namun itulah harga sebuah senyuman yang membuai perasaan gundah gulana kepada ketenteraman jiwa seolah-olah segala apa yang berlaku sebelumnya hanya sebuah mimpi buruk. 

Tetapi episod kekusutan esoknya adalah sebuah cerita lain yang tidak mungkin akan terpadam namun hanya dengan kuasa senyuman ia memungkinkan kekusutan itu bertukar kepada kegembiraan yang menyenangkan walaupun hanya seketika.

Begitulah kuasa sebuah senyuman yang sering kita abaikan atau mungkin sengaja diketepikan kerana terlalu mengejar keasyikan dunia ataupun kerana terperangkap dengan keegoan manusia yang fanatik dengan pangkat dan kebendaan.

Akibatnya manusia sering saja menyalahkan orang lain yang kemudian menjurus kepada pertengkaran malah mungkin menjadi ibu kepada peperangan walhal kebanyakan masalah ini mampu diselesaikan melalui rundingan dan sedikit senyuman.

Contoh terbaik

Andai ada yang sinis dengan kenyataan ini, mungkin kita boleh melihat sendiri bagaimana keperibadian dan kesederhanaan junjungan besar umat Islam, Nabi Muhammad SAW yang senantiasa tersenyum walau dalam apa keadaan dan kesusahan sekalipun yang akhirnya menundukkan musuh-musuhnya dan melembutkan hati mereka yang berseteru dengan beliau.

Senyuman adalah satu perbuatan yang senantiasa terbit dari bibir mulia Rasulullah dalam setiap perilakunya. Beliau tersenyum ketika bertemu dengan sahabatnya, saat beliau menahan amarah mahupun ketika berada di majlis-majlis tertentu.

Diriwayatkan oleh Jabir r.a, “Sejak aku masuk Islam, Rasulullah tidak pernah menghindar dariku. Dan beliau tidak melihatku kecuali beliau pasti tersenyum kepadaku.” (Hadis riwayat Bukhari Muslim).

Sesungguhnya Rasulullah senantiasa mengukir senyum dari bibir yang lembut, mulia nan suci, sehinggalah ke detik-detik akhir hayat beliau.

Sesungguhnya wajah merupakan cermin yang tepat bagi menggambarkan perasaan hati seseorang. Wajah yang ceria, penuh senyuman tulus ikhlas adalah sebaik-baik perkara dalam mempengaruhi rakan selain senjata untuk mendapat kerjasama dengan pihak lain.


JADI...SEMPERNA BULAN RAMADAN YANG MULIA NIE....SELALULAH KITA SENYUM....SENYUM ITU SEDEKAH DAN INDAH DAN MANIS DIPANDANG....