Saturday, 13 August 2011

TAZKIRAH RAMADAN: SEDEKAH

 Bismillahirrahmanirrahim…

Setiap kali Ramadhan bermula, maka kita diingatkan bahawa Ramadhan ialah satu madrasah. Satu sekolah. Sekolah untuk mendidik manusia menghayati tauhid kepada Allah s.w.t.. Sekolah untuk mengawal nafsu pada saat syaitan dirantai. Sekolah untuk membentuk jiwa agar sentiasa dekat dan rindu Tuhan pencipta. Sekolah untuk memfokuskan setiap tingkah laku supaya diiktiraf sebagai satu ibadat kepada Allah s.w.t.

Ramadhan ini, berhentilah tanam keazaman yang baru!

Ya, berhenti tanam azam yang baru. Untuk apa bina keazaman yang baru jika sekolah Ramadhan yang lama pun ibarat sekolah swasta yang mahal yang ada guru, ada buku, ada undang-undang, tetapi pelajar-pelajarnya berlagak dan sombong pada pentadbiran sekolah? Oh, kitakah pelajar-pelajar itu?

Sekolah Ramadhan lalu, ada gurunya iaitu Allah s.w.t. yang menyiapkan untuk kita akidah dan syariat terluhur, ada bukunya iaitu al-Quran yang sarat dengan panduan dan pengkisahan yang penuh iktibar, serta ada undang-undangnya iaitu syariat yang terbentuk daripada sumber primer dan sekunder. Ia satu pakej lengkap! Tinggal kita yang setiap nama kita didaftarkan secara rasmi sebagai pelajar-pelajar sekolah Ramadhan… Ada kalanya kita culas, malas, ketegaq, mengelat, mengulaq dan bosan dengan syariat terindah itu.

Mahu menyalahkan syaitan yang telah menghasut kita? Oh! Syaitan telah digari… dirantai… tak boleh nak hasut-hasut manusia lagi. Nak bisik-bisik kat telinga atau nak hantar sms dah tak boleh. Maka salah siapa? Hmm… fikir… fikir…. fikir lagi untuk mencari helah daripada dipertanggungjawabkan di hadapan Allah s.w.t. tentang segala kesilapan yang telah dilakukan sedangkan di ‘tapak perhimpunan’ nanti, lidah akan menjadi kelu tidak mampu berbicara lagi. Hanya anggota badan sahaja yang akan menjalankan tugas memberikan pengakuan atas segala yang pernah dilaku.

Sekolah Ramadhan lalu… telah berlalu. Tidak akan kembali. Sebelas purnama yang berlalu selepas itu, banyak kepincangan dan kekurangan yang kita lakukan. Sebelas purnama itu tidak akan kembali lagi. Kini sekolah Ramadhan yang baru yang punya guru, buku dan undang-undang yang sama datang lagi. Mungkinkah azam semasa belajar di sekolah yang lalu akan mekar kembali dan direalisasikan dengan bersungguh-sungguh?



Setengah Kena Bagi Balik

Kisah jutawan Malaysia, Syeikh Bukhari. Bukan terkasima dengan jumlah harta yang dimilikinya, tetapi betapa taatnya Syeikh kepada bondanya dan sehingga kini berpegang kepada pesan bonda bahawa ‘Setengah Kena Bagi Balik’. Bondanya berpesan, setiap keuntungan yang diperolehi dalam perniagaan, setengah daripada keuntungan tersebut hendaklah disedekahkan kepada orang susah.
Banyak firman Allah yang memberi amaran tentang azab bagi orang yang berbangga dengan kekayaan. Allah tidak larang manusia mencari kekayaan tetapi Allah sering menyatakan bahwa kekayaan itulah paling banyak membawa orang beriman itu terjerumus ke neraka. Pantas Rasulullah Saw dan para sahabat menginfakkan kebanyakan harta sehingga mereka menjadi manusia sederhana. Kita bagaimana?
Teringat azam Ramadhan lalu, mahu bersedekah banyak-banyak. Tapi, apabila Ramadan berakhir, tidak seberapa pun sedekah yang dikeluarkan. Sebelas purnama kemudian, hmmph… lagi lah liat mahu bersedekah sedangkan dunia sekarang sudah online segala-gala. Kalau nak sedekah, ambil nombor akaun, transfer online sahaja!Mampukah kita bagi balik, bukan setengah, bukan suku… tapi secebis dari harta yang ada secara istiqamah setiap Ramadhan dan 11 purnama berikutnya?Ada baiknya kita amalkan saranan mafhum nabi, Barangsiapa memberi makan berbuka bagi orang yang berpuasa walau sebiji tamar, maka orang tersebut akan memperolehi pahala amalan orang yang berpuasa tersebut tanpa mengurangi sedikitpun pahala orang yang memakan pemberian itu.


Buat akhirnya, ayuhlah kita melazimkan lidah kita bila bersua dan berpisah dengan rakan taulan sanak saudara di bulan mulia ini dengan kalimah ucapan doa “KULLU AMMEN WA ANTUM BI KHAIR” atau “KULLU SANAH WA ANTUM THOIYYIBIN” yang mana kedua-duanya membawa ERTI “SEMOGA SEPANJANG TAHUN ANDA BERADA DALAM KEADAAN BAIK” yang bermaksud – bermula Ramadhan tahun ini didoakan sehingga Ramadhan tahun akan datang anda semua berada dalam pemeliharaan Allah, barakah dan baik.
sekian dari saya....
blogger Anak Kampung
Wallahu A’lam Bishshawaab. 

No comments:

Post a Comment