SALAM Ramadan. Syukurlah kerana sekali lagi kita dapat ketemu bulan yang mulia dan penuh keberkatan ini. Tidak pasti adakah ini Ramadan terakhir bagi kita atau berpeluang menemuinya sekali lagi tahun depan.
Apa yang pasti ada di antara kita akan merasai ketiadaan orang tersayang pada Ramadan kali ini. Mungkin ibu, bapa, kakak, adik, abang atau anak. Maka jangan dibiarkan bulan ini berlalu tanpa pengisian amalan yang sewajarnya.
Semoga kita diberi ‘kekuatan’ untuk menunaikan salah satu daripada Rukun Islam itu. Pelbagai tanggapan dibuat mengenai Ramadan ini.
Selain sebagai bulan ibadat, ada yang menganggap Ramadan sebagai pesta makan dan pesta membeli-belah menjelang hari raya. Lihat sahaja bazar Ramadan yang tumbuh bagaikan cendawan. Mulai petang ini berduyun-duyun manusia memenuhi bazar Ramadan ini untuk mencari juadah berbuka.
Macam-macam makanan dan minuman dijual. Nafsu makan seolah-olah tidak terkawal apabila melihat hampir kesemua jari tangan memegang plastik yang terisi pelbagai juadah.
Membelilah ikut keperluan bukan nafsu sehingga berlaku pembaziran. Bagaimanapun ia secara tidak langsung membuka pintu rezeki kepada peniaga-peniaga.
Begitu juga dengan pelbagai program masakan di kebanyakan saluran televisyen. Hotel dan restoran juga mengadakan pelbagai pakej berbuka puasa. Sambutan yang diberikan juga hebat. Itulah lambang kemewahan rakyat Malaysia.
Biar apa pun tanggapan mengenai bulan ini, jadikanlah Ramadan bulan ibadat sepenuhnya.
Penuhilah dengan ibadat sembahyang sunat tarawih, witir, tadarus al-Quran dan lain-lain amal kebajikan.
Ramadan juga boleh dijadikan bulan muhasabah diri atau menilai semula apa yang dilakukan dalam usaha memperbaiki kelemahan yang ada. Ramadan mampu mengajar atau membentuk diri kita untuk meninggalkan perkara-perkara yang dilarang.
Jadi janganlah menjadikan puasa sekadar bulan pesta makan ketika menghampiri waktu berbuka atau pesta membeli-belah menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Sama-samalah kita penuhkan surau dan masjid dengan majlis-majlis ilmu ketika rehat waktu makan tengah hari (solat zuhur) dan waktu minum petang (waktu asar) dan pada sebelah malamnya pula dengan solat sunat tarawih dan witir.
RENUNG-RENUNGKANLAH DAN SELAMAT BERAMAL...
No comments:
Post a Comment