Monday 25 February 2013

::KESUKARELAAN BUKAN PILIHAN, TAPI SATU TANGGUNGJAWAB::

 

SEDUTAN KHUTBAH
22Februari 2013 / 11 Rabiulakhir 1434H

Bagi masyarakat orang Islam, kesukarelaan itu memang diajar, digalak dan didorong oleh agama kerana agama Islam amat menggalakkan dan menuntut kita supaya hidup saling tolong-menolong, bantu-membantu kearah kebaikan secara ikhlas dan sukarela. Perbuatan demikian memang sudah terbukti boleh menimbulkan perasaan hormat-menghormati, kasih-mengasihi dan saying-menyayangi di antara satu sama lain. Jika amalan sedemikian wujud dalam kalangan umat Islam, orang bukan Islam pun akan mengamalkannya. Firman Allah SWT dalam surah al-Ma’idah ayat 2:

“Dan hendaklah kamu bantu-menbantu untuk membuat kebajikan dan takwa, dan janganlah pula kamu bantu-membantu pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan (melampaui batas-batas ajaran Allah); dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat azab-Nya.”

Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADk) merupakan agensi yang dipertanggungjawabkan menangani permasalahan yang berkaitan dengan dadah. Peranan utamanya ialah untuk menentukan segala usaha negara menangani ancaman dadah berjalan secara terancang, terarah dan selaras dengan matlamat akhirnya untuk mewujudkan satu masyarakat dan Negara yang bebas daripada dibelenggu permasalahan dadah.

Maka, dalam hal ini kita mengharapkan supaya masyarakat sama-sama berganding bahu dan terlibat sama-sama dalam mengesan dan mengadakan aktiviti bagi menangani penyalahgunaan dadah yang ada dalam komuniti masing-masing. Tidak kiralah sama ada masyarakat yang tinggal di Bandar, pedalaman ataupun di perairan negara ini, mereka perlu membantu dan berkerjasama dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti berkenaan. Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran: 110:

“kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya) tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka; adalah orang-orang yang fasik.”

No comments:

Post a Comment