Setelah Khadijah dan Abu Talib meninggal dunia maka hilanglah salah satu kekuatan dan benteng tempat Rasulullah SAW bersandar. Abu Talib merupakan orang yang berpengaruh di Makkah dan sangat disegani oleh orang ramai. Orang-orang kafir berasa segan untuk menganiaya Nabi Muhammad saw selagi Abu Talib melindunginya. Khadijah pula merupakan seorang isteri yang sangat istimewa. Rasa penat dalam berdakwah akan hilang sebaik sahaja baginda bertemu Khadijah yang telah banyak mengorbankan seluruh kekayaannya untuk memperjuangkan risalah suci. Pengaruhnya juga sangat kuat dikalangan penduduk Makkah. Justeru itu, wafatnya kedua orang ini merupakan satu kehilangan besar dalam kehidupan Rasulullah, sebab kedua-dua tokoh Quraisy ini merupakan sayap perjuangan baginda. Rasulullah merasakan kesedihan yang amat sangat dengan kehilangan dua orang yang sangat dicintainya. Maka tahun pemergian keduanya itu dinamakan tahun kesedihan.
Disaat-saat menghadapi ujian yang sangat berat dan tingkat perjuangan yang sudah sampai ke puncaknya ini, gangguan dan hinaan aniaya serta siksaan yang dialami Baginda dengan pengikut-pengikutnya semakin hebat. Maka pada saat ini pulalah, iaitu pada 27 Rejab, Allah SWT memerintahkan supaya Rasulullah saw menjalani Israk dan Mikraj.
Israk ialah perjalanan Nabi saw dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di al-Quds. Mikraj ialah kenaikan Rasulullah saw menembusi lapisan langit tertinggi sampai batas yang tidak dapat dijangkau oleh ilmu semua makhluk, malaikat, manusia dan jin. Semua itu ditempuh dalam sehari semalam. Ringkasnya, Israk dan Mikraj adalah merupakan perjalanan pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidik Aqsa terus naik ke langit ketujuh dan Sidratul Muntaha. Disitulah baginda menerima perintah langsung dari Allah SWT tentang solat lima waktu.
Keesokan harinya Rasulullah saw menyampaikan apa yang disaksikan kepada penduduk Makkah. Tetapi oleh kaum Musrik berita itu didustakan dan ditertawakan. Sehingga sebahagian merekamenentang telah meminta Rasulullah saw untuk menggambarkan Baitul Maqdis jika benar ia telah pergi dan melakukan solat didalamnya. Padahal ketika menziarahinya, tidak pernah terlintas dalam fikiran Rasulullah saw untuk menghafal bentuknya dan menghitung tiang-tiangnya. Kemudian Allah memperlihatkan bentuk dan gambar Baitul Maqdis di hadapan Rasulullah saw sehingga dengan mudah baginda menjelaskannya secara terperinci seperti yang dimintanya.
Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda: “Ketika kaum Quraisy mendustakan aku, aku berdiri di Hijir(Ismail), lalu Allah memperlihatkan Baitul Maqdis kepadaku. Kemudian aku khabarkan kepada mereka tentang tiang-tiangnya dari apa yang aku lihat”
Berita ini oleh sebahagian kaum Musrikin disampaikan kepada Abu Bakar dengan harapan dia akan menolaknya. Tetapi ternyata Abu Bakar menjawab “Jika memang benar Muhammad yang menyatakannya, maka dia telah berkata benar dan sesungguhnya aku akan membenarkannya lebih dari itu.
Pada pagi hari dari malam Israk itu Jibril datang kepada Rasulullah saw mengajarkan cara solat dan menjelaskanwaktu-waktunya. Sebelum diishtiharkan solat lima waktu , Rasulullah saw melakukan solat 2 rakaat dipagi dan dua rakaat dipetang harisebagaimana dilakukan Nabi Ibrahim as.
Hikmah Allah memerintahkan Israk dan Mikraj kepada Rasulullah saw dalam perjalanan satu malam itu adalah untuk lebih mkenambahkan lagi kekuatan iman dan keyakinan baginda sebagai Rasul yang diutus Allah ke tengah-tengah umat manusia. Dengan demikian akan bertambah kuatlah batin baginda sewaktu menerima cubaan dan musibah serta cita murni, mengajar seluruh umat manusia kepada Agama Islam.
Peristiwa Israk Mikraj ini disamping memberikan kekuatan batin kepada Nabi Muhammad saw dalam memperjuangkan dan menegakkan agama Allah juga menjadi ujian bagi keimanan kaum muslimin. Bagi kaum kafir Quraisy peristiwa Israk MIkraj ini mereka jadikan senjata menuduh Nabi sebagai seorang yang tidak normal otaknya dan mereka jadikan sebagai bahan hinaan dan cacian.
No comments:
Post a Comment