Thursday, 30 May 2013
::CINTA DUNIA & TAKUT MATI::
Tuesday, 28 May 2013
::Doa Yang Menolak Zina::
Penghargaan terima kasih buat Pertubuhan Kebajikan Al-Nidaa' Malaysia
“Ustaz, di manakah saya boleh mencari kekuatan untuk menolak zina?” seorang anak muda bertanya kepada saya.
“Carilah ia di dalam Solat. Di dalam doa” saya membalas email yang dikirimnya.
Anak muda itu terasa hampa. Barangkali beliau kecewa kerana saya memberitahunya apa yang dia sudah tahu.
Solat.
Doa.
Sudah berapa kali dia bersolat dan berdoa, tetapi kekuatan yang dicari tidak pernah ada. Seperti Allah tidak menjawab permintaannya. Solat yang hampa. Doa yang terbang dibawa angin masa.
Bukankah Allah Subhanahu wa Ta’aala sendiri memberi jaminan bahawa Solat itu mencegah manusia daripada kemungkaran, terutamanya zina? Itu yang disebut di dalam al-Quran:
“Bacalah serta ikutlah akan apa yang
diwahyukan kepadamu daripada Al-Quran, dan dirikanlah Solat.
Sesungguhnya Solat itu mencegah daripada perbuatan yang Fahsya’ dan
mungkar; dan Sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar. Dan
(ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan” [Al-Ankabut 29: 45]
Allah tidak pernah memungkiri janji-Nya.
Seandainya solat anak muda itu dan kita semua tidak mampu mencegah diri
daripada kejahatan, terutamanya Zina, pasti ada sesuatu yang tidak kena
dengan solat yang kita kerjakan. Bukan sahaja daripada aspek cukup
Syarat atau sah tidak sahnya solat itu, malah intipati dan maknanya.
Ya, sejauh mana kita memaksudkan apa yang kita minta?
Sampaikah kepada permintaan seorang anak muda bernama Yusuf?
TELADAN MUJAHADAH YUSUF
Imra’ah al’Aziz yang dikenali sebagai
‘Zulaikha’ itu, tidak pernah berputus asa. Di satu ketika dia menafikan
dirinya sebagai orang yang memaksa zina ke atas Yusuf. Tetapi setelah
kejadian baju Yusuf terkoyak akibat kejadian sebelumnya (Yusuf 12: 25)
tersebar ke seluruh kota (Yusuf 12:30), Zulaikha menjadi liar. Malunya
hilang, malah semakin mengganas pada tindakannya untuk mendapatkan
Yusuf. Wanita-wanita bangsawan temannya dihimpunkan. Mereka dijamu
makan. Setiap tangan diberikan pisau untuk memotong dan Zulakhai memaksa
Yusuf tampil ke khalayak menampakkan diri.
Daripada Anas bin Malik radhiyallaahu
‘anhu bahawa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda:
Yusuf telah diberikan separuh daripada kecantikan diri” [Al-Bukhari no. 7517 dan Muslim no. 162]
Separuh kecantikan diberikan kepada Yusuf.
Separuh lagi diagihkan kepada seluruh manusia lain!
Giliran mereka pula dibius cinta. Tangan
tidak terasa bahawa pisau tidak lagi memotong makanan. Jari-jari mereka
luka dipotong pisau kerana panahan rupa paras Yusuf. Zulaikha mengeluarkan ‘buah’ manusia yang mabuk cinta. Mereka belum kena lagi. Sekarang tahukah mereka apa yang dihadapinya saban hari selama ini?
“(Zulaikha) berkata: “Inilah orangnya
yang kamu tempelak aku mengenainya! Sebenarnya aku telah memujuknya
berkehendakkan dirinya tetapi dia menolak dan berpegang teguh kepada
kesuciannya; dan demi sesungguhnya kalau dia tidak mahu melakukan apa
yang aku suruh tentulah dia akan dipenjarakan, dan (Yusuf) akan menjadi
daripada orang-orang yang hina.“ [Yusuf 12: 32]
Kini Zulaikha tidak lagi sendirian.
Kemahuannya diakui oleh seluruh wanita yang melihat susuk wajah Yusuf.
Zulaikha berjaya menjustifikasikan kehendak nafsunya. Maksiat bukan lagi
maksiat. Kini maksiat adalah suatu mangsa keadaan!
Malah dayusnya al-’Aziz dan betapa berkuasanya Zulaikha sebagai First Lady,
dia bebas menentukan siapakah yang patut dihumban ke penjara dan siapa
yang tidak. Andai Yusuf enggan menerima ajakan Zulaikha, harga yang
perlu dibayar adalah PENJARA.
Apakah tekanan yang Yusuf hadapi?
Anak muda, peluang ada, kecenderungan bisa
terjadi, menolaknya pula bererti merengkuk di penjara. Sepadankah
tekanan itu dengan apa yang kalian sebagai anak muda, hadapi berkaitan
zina?
Atau kalian dengan sengaja gemar
berkelakuan lemah diri? Justeru mudah memberi alasan, bahawa keadaan
adalah ‘pihak’ yang patut dipersalahkan?
Sesungguhnya Yusuf mendengar ugutan itu. Beliau tahu di hadapannya hanya dua. Zina atau penjara.
MENCARI KEKUATAN DENGAN SOLAT DAN DOA
Yusuf tinggal sendiri.
Al-’Aziz sebagai bapa angkatnya, suami
kepada Zulaikha dan Menteri Utama negara Mesir, tidak berperanan untuk
mencegah hal ini. Beliau berada di kemuncak dayus.
Tiada tempat lain untuk Yusuf mencari kekuatan melainkan dengan Solat dan Doa.
Yusuf (merayu kepada Allah Taala
dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara daripada
apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau
tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung
kepada mereka, dan jadilah aku daripada golongan orang jahil yang tidak
mengamalkan ilmunya” [Yusuf 12: 33]
Doa Yusuf itu sarat dengan makna. Yusuf benar-benar menyatakan kebergantungannya kepada Allah. Sesungguhnya tanpa bantuan Dia, Yusuf lemah untuk mendepani tipu daya wanita-wanita jahat itu. Sesungguhnya doa tidak boleh datang daripada hati yang sombong.
Meminta sesuatu daripada Allah yang dirinya tidak berasa kepada
keperluannya. Jika Allah beri, dia terima. Jika Allah tidak beri, dia
akan buat sendiri. Sombongnya hati manusia yang meminta dan berdoa tidak dengan bahasa seorang hamba.
Yusuf juga menunjukkan kepada kita kuasa sebuah doa. Doa menguji sama ada kita benar-benar mahu kepada apa yang diminta,
atau kita memintanya tanpa kesungguhan dan makna. Doa akan membunuh
sifat hipokrit bahawa mulut meminta sesuatu, namun hati tidak bersungguh
memaksudkannya.
“Berdoalah kepada Allah dalam keadaan
engkau yakin ia akan dikabulkan, ketahuilah bahwa Allah tidak menerima
doa daripada hati yang lalai”. (Hadith riwayat al-Tirmidzi, dihasankan oleh Sheikh al-Albani)
ENGKAU DAN DOAMU
Dirimu minta daripada Allah agar
dihindarkan daripada zina. Namun sejauh mana hatimu membenci zina?
Sejauh mana engkau mahu menjauhkan diri daripadanya? Adakah mulut
meminta perlindungan, ketika hati dibiarkan melayan kecenderungan?
Doa mengajar kita memaksudkan apa yang kita
minta. Supaya dengan doa itu, akhirnya hanya dirinya dan Allah yang
benar-benar tahu, sejauh mana permintaan itu disungguhkan.
“Apabila sesiapa daripada kalangan
kamu berdoa, maka hendaklah dia menekadkan apa yang diminta. Dan
janganlah sekali-kali beliau berkata: Ya Allah jika Engkau mahu,
berikanlah kepadaku apa yang kuminta. Sesungguhnya tiada suatu
permintaan pun yang berat bagi Allah untuk menunaikannya” [Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim]
Doa menyaring hasrat hati.
Hanya hati yang berjaya membulatkan
permintaan, bersih daripada rasa berbelah bagi antara mahu meninggalkan
maksiat dengan adanya rasa sayang untuk apa yang berlaku itu tamat..
Yusuf benar-benar memaksudkannya. Dirinya
semakin lemah dengan tekanan yang memuncak. Justeru jika satu-satunya
cara untuk selamat adalah dengan merealisasikan ugutan Zulaikha,
sesungguhnya penjara itu lebih disukainya berbanding zina yang
membinasakan.
HATI YANG IKHLAS
Di sinilah titik IKHLAS pada hati yang meminta. Hati yang bersih daripada semua pihak selain daripada Allah.
“Maka Tuhannya memperkenankan doanya,
lalu dijauhkan daripadanya tipu daya mereka; Sesungguhnya Allah jualah
yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui” [Yusuf 12: 34]
Allah Maha Mendengar permintaanmu.
Allah Maha Mendengar suara halus di dalam hati yang meminta itu dan sejauh mana permintaan itu dimaksudkan.
Allah juga Maha Mengetahui terhadap apa yang berlaku.
Zulaikha mahukan engkau terpenjara untuk membalas dendam.
Allah memberikan engkau penjara seperti
yang diminta, bahawa penjara itu memiliki hikmah besar yang menanti,
seperti yang berada di dalam Ilmu-Nya.
“Dan
Tuhanmu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa
permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada
beribadat dan berdoa kepadaku, akan masuk ke Neraka Jahannam dalam
keadaan yang hina” [Ghafir 40: 60]
Justeru anak muda, saat engkau mendepani
kehidupan yang sangat mengajak kepada zina ini, perkukuhkanlah Solat dan
Doamu untuk mencari ketulusan hati.
Hati yang benar-benar membenci zina dan kejahatan. Hati yang benar-benar menolaknya.
Seperti yang terungkap di dalam sebuah DOA!
Tuesday, 21 May 2013
::Wacana kupasan Buku Umdatul Ahkam::
Siri Wacana Mingguan Al-Nidaa Diteruskan lagi.
Minggu ini kita bersama Ust Shapizan Johari dalam kupasan buku Umdatul Ahkam.
Wacana akan berlangsung pada 22 Mei 2013 , Rabu pada jam 08:15PM.
Minggu ini kita bersama Ust Shapizan Johari dalam kupasan buku Umdatul Ahkam.
Wacana akan berlangsung pada 22 Mei 2013 , Rabu pada jam 08:15PM.
Kitab Syarah Umdatul Ahkam karya Syaikh 'Abdurrahman B. Nashir As-Sa'di ini merupakan syarah (huraian) matan hadis-hadis hukum dari kitab 'Umdatul Ahkam susunan Al-Hafiz Al-Faqih 'Abdul Ghani Al-Maqdisi rahimahullah (Wafat: 600H). Hadis-hadis dalam kitab 'Umdatul Ahkam tersebut adalah hadis-hadis sahih semuanya lagi disepakati oleh Al-Bukhari dan Muslim yang berkaitan dengan hal-ehwal hukam-hakam fiqh Islam.
Syarah dan ta'liq dalam kitab Syarah ini adalah penjelasan dan huraian hadis-hadis 'Umdatul Ahkam yang disampaikan oleh Syaikh As-Sa'di ketika hayatnya di dalam siri-siri pengajian beliau di Masjid Jami' Unaizah yang dicatat oleh salah seorang pelajar senior beliau, iaitu Syaikh 'Abdullah B. Muhammad Al-Auhali rahimahullah (Wafat: 1408H). Perbahasan yang beliau sampaikan ini kaya dengan perbahasan-perbahasan fiqh yang penting yang wajib diketahui oleh kaum muslimin khususnya. Apatah lagi, ianya merangkumi perkara-perkara asas yang amat diperlukan oleh setiap umat Islam khasnya para penutut ilmu dan para pemula.
Keistimewaan Syarah Syaikh As-Sa'di ini terletak pada kaedah penyampaiannya. Ia disampaikan secara ringkas, santai, tetapi padat dengan maklumat lagi mudah difahami. Ini maklum difahami oleh para peneliti dan pembaca kitab-kitab karya Syaikh As-Sa'di contohnya sebagaimana kitab Tafsir beliau yang cukup terkenal, iaitu Tafsir Taisir Al-Karim Ar-Rahman fii Tafsir Kalam Al-Mannan. Perbahasannya begitu sesuai sebagai rujukan dan bacaan berjadual setiap umat Islam, baik yang baru hendak bermula mahupun yang hendak menambahkan lebih maklumat ilmu-ilmu dalam bidang hukum-hakam fiqh.
Di samping perbahasan-perbahasan fiqh secara umum, kitab ini juga turut membentangkan kaedah-kaedah fiqh yang penting lagi amat bermanfaat. Sekaligus amat membantu para pembaca mendapatkan lebih maklumat tidak hanya sekadar fiqh hukum, tetapi juga kaedah penggalian hukum-hakam fiqh tersebut. Selain itu, ilmu-ilmu aqidah yang murni juga turut diterapkan secara tidak langsung dalam bahagian-bahagian tertentu perbahasan di dalam kitab ini.
Sebagaimana kitab-kitab fiqh yang lain umumnya, perbahasan di dalam kitab Syarah ini disusun berdasarkan tematik fiqh yang maklum. Dimulai dari perbahasan thaharah, solat, zakat, puasa, haji, jual-beli, pernikahan, nadzar, makanan dan minuman, hudud, qishash, susuan, li'an, sumpah, pakaian, dan beberapa lagi lainnya. (Rujukan)
Wacana akan berlangsung di Pejabat Al-Nidaa' di alamat :
17A, Lorong Datuk Sulaiman 7,
Taman Tun Dr. Ismail,
60000 Kuala Lumpur
Subscribe to:
Posts (Atom)