Saturday, 9 February 2013

::MENCAPAI ISTIQAMAH::


ISTIQAMAH adalah satu perkataan bagi menggambarkan sifat unik yang mungkin sukar diterjemahkan ke dalam bahasa ibunda kita.

Istiqamah bermaksud menuruti jalan yang lurus, iaitu jalan tanpa bengkang-bengkok meliputi segenap perbuatan taat sama ada yang zahir atau batin serta meninggalkan segala yang dilarang Allah SWT.
Kebiasaannya, istiqamah menyusul selepas beriman kepada Allah kerana iman adalah asas kepada keutuhan istiqamah. Tanpa iman yang utuh, tiada istiqamah dalam diri seorang Muslim.

Dalam kamus bahasa, istiqamah diertikan sebagai sikap teguh pendirian dan sentiasa konsisten.

Saidina Abu Bakar RA ketika ditanya mengenai istiqamah menjawab bahawasanya: “Istiqamah adalah kemurnian tauhid (tidak boleh menyekutukan Allah dengan apa dan siapapun).”

Umar Al Khattab RA pula menyatakan bahawasanya: “Istiqamah adalah kamu berdiri di atas perintah dan larangan dan tidak terumbang ambing seperti musang (yang berlari ke sana ke mari).”

Sementara itu, Usman bin Affan RA menyifatkan istiqamah sebagai: “... mengikhlaskan amal kepada Allah SWT.”


Secara mudahnya, istiqamah dapat difahami sebagai melakukan perkara baik secara berterusan dan ikhlas kerana Allah hanya untuk mencapai keredaan Allah SWT.


Namun dalam realitinya, istiqamah sukar diterjemahkan kerana diancam oleh pujukan hawa nafsu, disangsikan pula oleh bisikan syaitan. Oleh itu, kadangkala kita menjadi keliru dan was-was dengan jalan dipilih.


Apatah lagi apabila melaksanakan sunnah Rasulullah SAW atau syariat Allah pada akhir zaman ini yang diibaratkan umpama menggenggam bara api, sekali gus membuatkan kita kadang kala dipandang jelek dan kolot.


Ada orang yang berhijrah daripada tidak menutup aurat kepada menutup aurat, tetapi kemudian membuka kembali auratnya kerana berasa tidak yakin dengan penampilannya di dalam masyarakat selain tidak tahan mendengar ejekan sinis orang sekeliling.


Begitu juga apabila berbicara mengenai istiqamah dalam masyarakat umat Islam. Umat Islam yang beristiqamah adalah keadaan di mana seseorang itu melaksanakan tuntutan agama dalam pegangan akidah, kepercayaan, ibadah dan perlakuan tanpa keraguan terhadap apa diwahyukan Allah melalui Rasul-Nya.


Pendek kata, melaksanakan semua tuntutan Allah tanpa memilih mana yang sesuai dengan alasan mengikut peredaran zaman.


Bukti istiqamah ini dirakam oleh Allah SWT dalam ayat 162 surah Al-An’am bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidup dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan sekalian alam.”


Istiqamah juga diungkapkan sebagai mencapai atau merealisasi tujuan kejadian manusia. Perkara ini disebut oleh Allah dalam surah Az-Zariyat, ayat 56 bermaksud: “Tidak Aku (Allah) menciptakan jin dan manusia, melainkan untuk menyembah (beribadat) kepada-Ku.”


Selain itu, seperti dibicarakan di atas, istiqamah juga bererti menerima segala hukum-hakam Allah dalam al-Quran dan apa yang dijelaskan Rasulullah SAW dengan pasrah dan bersungguh-sungguh.


Hakikat ini diperjelaskan oleh Allah menerusi surah al-Ahzab, ayat 36, bermaksud: “Dan tidaklah patut bagi lelaki beriman dan tidak pula bagi wanita beriman, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) mengenai urusan mereka.”


Di dalam kehidupan kita sebagai seorang Muslim, ada beberapa panduan bagaimana untuk kita menuju kepada istiqamah. Antaranya:


1. Kesedaran dan kefahaman benar mengenai Islam.

Untuk mencapai darjat istiqamah secara maksimum, seseorang itu memerlukan pemahaman terhadap Islam secukupnya. Muslim yang memahami ajaran agamanya dengan baik tidak akan bimbang menjalani kehidupan dunia.


a akan tetap istiqamah menghadapi badai godaan walau seteruk mana sekalipun ia datang menggoncang. Pemahaman mengenai Islam yang tidak sempurna hanya membawanya ke jalan sesat.


2. Mendekatkan diri kepada Allah dan merasakan pengawasan-Nya.

Dua perkara ini sangat penting. Ketika seorang Muslim merasa dekat dengan Allah, ke mana pun ia pergi, di mana pun ia berada dan bagaimana pun situasi dan keadaannya, dengan keyakinan penuh ia akan sentiasa merasa diawasi dan dilihat oleh Allah. Dengan begitu, seseorang itu tidak lagi berani menyimpang dari jalan-Nya.


Allah SWT berfirman menerusi surah Al-Baqarah, ayat 235, bermaksud: “Dan ketahuilah bahawasanya Allah mengetahui apa yang ada dalam hatimu; Maka takutlah kepada-Nya, dan ketahuilah bahawa Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”


3. Bergaul bersama orang soleh dan beristiqamah.

Ini sangat membantu seseorang untuk sentiasa istiqamah di jalan Allah SWT. Teman yang soleh akan sentiasa mengingatkan kita untuk berbuat baik serta mengingatkan kita daripada kekeliruan.


Bukan bermaksud memutuskan hubungan silaturahim dengan mereka yang tidak menampilkan ciri-ciri Islamik, tetapi hanya cuba lebih rapat dengan mereka yang soleh supaya kita tidak tergelincir daripada landasan sebenar istiqamah.


4. Berdoa kepada Allah SWT supaya sentiasa dikurniakan istiqamah hingga akhir hayat.

Antara cara terbaik bagi mewujudkan sikap istiqamah dalam diri adalah apabila seseorang itu sentiasa memohon pertolongan Allah dalam segala urusan dan keadaan.


Ummu Salamah RA mengatakan, bahawasanya ada satu doa yang sering dibaca serta diamalkan oleh Rasulullah SAW yang berbunyi: “Yaa muqallibal qulub tsabbit qalbi ‘ala diinik”


Doa ini bermaksud: “Wahai Zat yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu.” (Hadis Riwayat Tirmidzi, Ahmad dan Hakim serta disahkan sahih oleh Az Zahabi di dalam kitab Shahihul Jami’)


Semoga dengan sedikit penerangan mengenai sifat istiqamah ini, kita semua dikurniakan jalan lurus untuk mencari keredaan Allah SWT sebagaimana hakikatnya yang mengatakan: jika mengimpikan syurga, jangan sekali-kali mengimpikan jalan luas untuk ke sana. 



sumber: Harian Metro 

No comments:

Post a Comment