Monday, 1 April 2013

::WACANA MINGGUAN - UMDATUL AHKAM::



Siri Wacana Mingguan Al-Nidaa Diteruskan lagi.

Minggu ini kita bersama Ust Shapizan Johari dalam kupasan buku Umdatul Ahkam.

Wacana akan berlangsung pada 03 April 2013 , Rabu pada jam 08:15PM.

Serba sedikit mengenai Kitab Umdatul Ahkam

 Kitab Syarah Umdatul Ahkam karya Syaikh 'Abdurrahman B. Nashir As-Sa'di ini merupakan syarah (huraian) matan hadis-hadis hukum dari kitab 'Umdatul Ahkam susunan Al-Hafiz Al-Faqih 'Abdul Ghani Al-Maqdisi rahimahullah (Wafat: 600H). Hadis-hadis dalam kitab 'Umdatul Ahkam tersebut adalah hadis-hadis sahih semuanya lagi disepakati oleh Al-Bukhari dan Muslim yang berkaitan dengan hal-ehwal hukam-hakam fiqh Islam.

Syarah dan ta'liq dalam kitab Syarah ini adalah penjelasan dan huraian hadis-hadis 'Umdatul Ahkam yang disampaikan oleh Syaikh As-Sa'di ketika hayatnya di dalam siri-siri pengajian beliau di Masjid Jami' Unaizah yang dicatat oleh salah seorang pelajar senior beliau, iaitu Syaikh 'Abdullah B. Muhammad Al-Auhali rahimahullah (Wafat: 1408H). Perbahasan yang beliau sampaikan ini kaya dengan perbahasan-perbahasan fiqh yang penting yang wajib diketahui oleh kaum muslimin khususnya. Apatah lagi, ianya merangkumi perkara-perkara asas yang amat diperlukan oleh setiap umat Islam khasnya para penutut ilmu dan para pemula.

Keistimewaan Syarah Syaikh As-Sa'di ini terletak pada kaedah penyampaiannya. Ia disampaikan secara ringkas, santai, tetapi padat dengan maklumat lagi mudah difahami. Ini maklum difahami oleh para peneliti dan pembaca kitab-kitab karya Syaikh As-Sa'di contohnya sebagaimana kitab Tafsir beliau yang cukup terkenal, iaitu Tafsir Taisir Al-Karim Ar-Rahman fii Tafsir Kalam Al-Mannan. Perbahasannya begitu sesuai sebagai rujukan dan bacaan berjadual setiap umat Islam, baik yang baru hendak bermula mahupun yang hendak menambahkan lebih maklumat ilmu-ilmu dalam bidang hukum-hakam fiqh.

Di samping perbahasan-perbahasan fiqh secara umum, kitab ini juga turut membentangkan kaedah-kaedah fiqh yang penting lagi amat bermanfaat. Sekaligus amat membantu para pembaca mendapatkan lebih maklumat tidak hanya sekadar fiqh hukum, tetapi juga kaedah penggalian hukum-hakam fiqh tersebut. Selain itu, ilmu-ilmu aqidah yang murni juga turut diterapkan secara tidak langsung dalam bahagian-bahagian tertentu perbahasan di dalam kitab ini.

Sebagaimana kitab-kitab fiqh yang lain umumnya, perbahasan di dalam kitab Syarah ini disusun berdasarkan tematik fiqh yang maklum. Dimulai dari perbahasan thaharah, solat, zakat, puasa, haji, jual-beli, pernikahan, nadzar, makanan dan minuman, hudud, qishash, susuan, li'an, sumpah, pakaian, dan beberapa lagi lainnya. (Rujukan)

Wacana akan berlangsung di Pejabat Al-Nidaa' di alamat :
17A, Lorong Datuk Sulaiman 7,
Taman Tun Dr. Ismail,
60000 Kuala Lumpur.

Friday, 29 March 2013

::MEMELIHARA KEAMANAN DAN KESEJAHTERAAN TANGGUNGJAWAB BERSAMA::

 

SEDUTAN KHUTBAH 29 MAC 2013 / 17 JAMADILAWAL 1434H


Nilai keamanan dan kesejahteraan yang dianjurkan Islam adalah amat sesuai dai ini bersesuaian dengan kedudukan Islam itu sendiri sebagai agama pembawa rahmat dan kesejahteraan. Kita semua perlu sedar bahawa Islam bukanlah agama yang mencetuskan keganasan dan perasaan takut atau menyeru kearah persengketaan dan pertumpahan darah. Sebaliknya Islam menjadi perantara bagi mengajak semua bangsa kea rah keamanan dan kesejahteraan menyuburkan dan mengekalkan keamanan adalah amat penting bagi sesebuah masyarakat. Ini kerana:

Pertama: Dapat menjamin kehidupan yang harmoni.

Kedua: Dapat menjadikan kita umat Islam yang dihormati dan disegani bangsa lain.

Ketiga: Dapat memberikan keselesaan untuk beribadat kepada Allah SWT tanpa dibayangi perasaan takut dan bimbang.

Keempat: Merialisasikan objektif agama Islam iaitu sebagai rahmat kepada seluruh alam, samada manusia dan juga makhluk lain.

Sebuah hadith daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah saw bersabda:

“Seorang mukmin adalah dia yang member jaminan rasa aman kepada manusia atas darah dan harta mereka.”

Justeru, untuk merealisasikan keamanan dan kesejahteraan dalam sesebuah Negara Islam semua pihak hendaklah memainkan peranan bermula dari peringkat individu, masyarakat dan pemimpin negara bertanggungjawab melaksanakannya. Ini bermaksud rakyat dan pemimpin semuanya mempunyai tanggungjawab dan peranan yang tersendiri.

Sama-samalah kita membantu dan menyokong mana-mana sahaja pihak yang ingin menjadikan Islam sebagai asas kehidupan ummah. Sekiranya ini difahami, dihayati dan diamalkan dalam kehidupan individu, masyarakat dan dikalangan pemimpin negara, maka insyaAllah kita akan dapat hidup dalam suasana yang aman dan sejahtera walaupun hidup dalam negara yang berbilang bangsa dan fahaman. Maka peliharalah keamanan dan kesejateraan negara kerana ini adalah tanggungjawab kita bersama.