Tuesday, 25 March 2014

::PROGRAM PENDIDIKAN KANSER: AMALAN GAYA HIDUP SIHAT BERTERASKAN AL-QURAN & SUNNAH::


             
Pusat Sumber & Pendidikan Kanser (CaRE) akan mengadakan Program Pendidikan Kanser yang bertajuk Amalan Gaya Hidup Sihat Berteraskan Al-Quran & Sunnah bertempat di Dewan Kuliah Utama, Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan, UPM pada 17 April 2014 (Khamis) dari 9.30 pagi hingga 12.00 tengahari.
               
Penceramah yang dijemput adalah Ustaz Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim yang merupakan Pensyarah di Jabatan Syariah, UKM dan sering muncul sebagai panel untuk program Tanyalah Ustaz, Halaqah, al-Kuliyyah dan juga Forum Perdana. Penyertaan adalah terbuka kepada semua warga UPM, staf dan juga pelajar serta orang awam.
               
Yuran penyertaan adalah sebanyak RM10. Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan ilmu yang sangat bermakna. Daftar sekarang, sila hubungi Pn Norazrina (03-89472706) untuk mengesahkan kehadiran. Sekian, harap maklum.
               
Mariani Binti Shaari
Social Research Officer
Cancer Resources & Education Center (CaRE)
Universiti Putra Malaysia
Serdang, Selangor.
Tel/Fax: +603 8947 2706

::BENGKEL PENGURUSAN JENAZAH 2014::

                 
Suka cita dimaklumkan bahawa Pusat Islam Universiti, Universiti Putra Malaysia dengan kerjasama Jawatankuasa Kariah Serdang akan menganjurkan Bengkel Pengurusan Jenazah 2014 pada:
                 
TARIKH: 23-24 April 2014 (Rabu-Khamis)
MASA: 8.00 Pagi – 5.00 Petang
TEMPAT: Masjid, Universiti Putra Malaysia
YURAN:  RM20.00 (sumbangan tabung Masjid)
ANJURAN: Pusat Islam Universiti, Universiti Putra Malaysia dengan kerjasama Jawatankuasa Kariah Serdang.
                     
  • Kepada yang berminat, bolehlah mendaftar melalui Borang Pendaftaran Kursus dan Bengkel yang telah dilampirkan atau melalui Sistem Pendaftaran Online Pusat Islam Universiti http://www.sppi.upm.edu.my .
  • Untuk Maklumat lanjut tuan/puan bolehlah menghubungi Pejabat Am, Pusat Islam, UPM atau Mohd Firdaus (03-8946 8582).
  • Borang yang telah dilengkapkan hendaklah dihantar ke Pejabat Am Pusat Islam Universiti atau fakskan ke 03-8948 3742.
  • Penyertaan terbuka kepada semua warga UPM dan masyarakat setempat.
  • *Borang penyertaan hendaklah dihantar sebelum 18/04/2014 - Harap maklum
                           
    Mohd Firdaus bin Abd. Rashid
    Pusat Islam Universiti
    Universiti Putra Malaysia
    03-8946 8582

::TAZKIRAH - MENCARI KEBERKATAN REZEKI::

             
RENUNGAN UNTUK KITA HAYATI BERSAMA. SEMOGA MENDAPAT MANFAAT DARINYA.
                   

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:  

Seseorang yang terbiasa dengan meminta-minta, dia akan datang pada hari kiamat tanpa secebis daging pun di wajahnya. 

 (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
             
Huraian:
  • Islam menuntut umatnya supaya bekerja dan berusaha sehingga bebas daripada belenggu kemiskinan.
  • Kemiskinan boleh menggelincirkan iman kerana seseorang yang lemah imannya akan sanggup menggadaikan aqidahnya dengan melakukan pekerjaan yang terlarang serta menuturkan kata-kata yang menolak kebesaran Allah seperti menafikan keadilan Allah dan sebagainya.
  • Setiap pekerjaan yang dilakukan oleh manusia untuk meneruskan kelangsungan hidup di dunia merupakan ibadat iaitu selagi ia dilakukan dengan niat yang baik dan tidak melanggar hukumNya.
  • Rezeki yang berkat adalah rezeki yang dicari dengan titik peluh sendiri, bukan dengan cara menunggu pemberian daripada orang lain seperti meminta sedekah, derma dan sebagainya padahal tubuh badan masih lagi kuat dan sihat.
                     
    PUSAT ISLAM UNIVERSITI
    UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
    (SUMBER : JaKiM)

Friday, 21 March 2014

::TAZKIRAH - SABAR MENCERMINKAN KEIMANAN ::

             
RENUNGAN UNTUK KITA HAYATI BERSAMA. SEMOGA MENDAPAT MANFAAT DARINYA.
                 

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

 "Allah berfirman dalam Hadis Qudsi yang bermaksud: "Tiada balasan bagi seseorang hamba-Ku yang telah Aku ambil kembali kekasihnya, kemudian orang itu mengharapkan pahala daripada-Ku melainkan orang itu akan mendapat balasan syurga". 

 (Hadis Riwayat al-Bukhari)
               
Huraian:
  • Sabar adalah mengawal diri daripada kegelisahan dan menerima segala dugaan, rintangan dan segala suruhan Allah dengan hati yang tenang iaitu tidak merasa jemu dan berputus asa dalam menghadapi kesulitan hidup.
  • Kita hendaklah bersabar ketika menghadapi kematian suami, isteri, anak atau ibu bapa kerana semua makhluk merupakan milik Allah. Malah kita dinasihatkan untuk berkata: "Sesungguhnya kami merupakan kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. (Maksud al-Baqarah :156)
  • Seseorang yang menghadapi kesusahan dengan penuh kesabaran akan dihapuskan dosanya dan dimasukkan ke dalam syurga.
  • Sesungguhnya setiap mukmin yang beriman kepada Allah, imannya belum dapat diperakui sebelum diuji keimanannya itu.
  • Setiap ujian yang diturunkan oleh Allah mempunyai hikmahnya yang tersendiri.
                   
    PUSAT ISLAM UNIVERSITI
    UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
    (SUMBER : JaKiM)

::KLINIK AL-FATIHAH MASJID UPM::

                   
Pusat Islam Universiti, UPM kini telah mengadakan Klinik al-Fatihah (Jumaat)
                       
Bagi sesiapa yang ingin memperbaiki atau menyemak semula bacaan al-Fatihah, para jemaah boleh mendapatkan perkhidmatan ini di ruang hadapan Masjid UPM berhampiran Kaunter Pengawal Keselamatan. Ia dibuka jam dari jam 12.00 tengahari - 1.00 tengah hari pada setiap hari Jumaat.
                 
Surah al-Fatihah merupakan salah satu daripada rukun solat. Membaca surah al-Fatihah merupakan sifat solat Nabi SAW dan kesempurnaan bacaan adalah amat penting bagi memastikan bahawa ibadah solat yang dilakukan adalah sah. Hal ini adalah berdasarkan hadis yang bermaksud:
             
"Tidak sah solat bagi mereka yang tidak membaca Faatihatul Kitab" (Al Fatihah)
(Sahih al-Bukhari No. 756)
             
Pusat Islam Universiti, UPM
03-89468582

Tuesday, 18 March 2014

::KAPSUL PSIKOLOGI - 5 TIPS UNTUK CERIA DI TEMPAT KERJA::

             
KAPSUL PSIKOLOGI
             
5 TIPS UNTUK CERIA DI TEMPAT KERJA
             
1. Ketepikan Masalah Peribadi
Jangan biarkan emosi anda terjejas hanya kerana masalah peribadi. Sebaiknya elakkan pemindahan perasaan atau emosi negatif kepada rakan sekerja.
                 
2. Cipta dan hias Tempat Kerja Seperti Rumah Anda
Hiasi tempat kerja anda supaya kelihatan menarik dan kemas. Pastikan tempat kerja anda mempunyai suasana yang selesa untuk meningkatkan motivasi dan kualiti untuk anda melaksanakan kerja.
               
3. Bina Sistem Sokongan
Eratkan hubungan antara anda dengan rakan sekerja. Ingat! Rakan sekerja merupakan individu yang anda temui setiap hari. Oleh itu, pembinaan sistem sokongan ini amat penting bagi membantu anda untuk berkongsi pendapat dan emosi untuk mengurangkan tekanan yang dialami.
                   
4. Lakukan Senaman Ringan
Lakukan senaman ringan dan mudah sekiranya anda sudah lama berada dalam posisi yang sama. Alihkan perhatian anda dari skrin komputer setiap 30 minit. Dengan melakukan pergerakan badan dapat meningkatkan pengaliran darah dan akan membantu otak anda untuk terus fokus. Pergerakan yang kerap juga bagus untuk tulang belakang dan juga mata anda kerana ketegangan pada bahagian-bahagian ini boleh menyumbang kepada stress.
               
5. Bersikap Positif
Amalkan sikap positif di tempat kerja dan berikan senyuman anda kepada sekeliling bagi menimbulkan semangat dan keakraban. Di samping itu, dapat membina suasana kerja yang lebih menyeronokkan. 

Sila klik link di bawah untuk menonton video :
https://www.youtube.com/watch?v=Q-GLuydiMe4

               
SEKSYEN BIMBINGAN DAN KERJAYA STAF
PEJABAT PENDAFTAR
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
03-8947 1557

::TAZKIRAH - GALAKAN BERSEDEKAH::

Assalamualaikum Wbt,

RENUNGAN UNTUK KITA HAYATI BERSAMA. SEMOGA MENDAPAT MANFAAT DARINYA.



Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: 
 
Perumpamaan orang yang bersedekah lalu menarik kembali sedekahnya itu hanyalah seperti anjing yang muntah lalu memakan muntahnya itu
 
(Hadis Riwayat Muslim)

Huraian:

Setiap anggota masyarakat hendaklah mengamalkan konsep berat sama dipikul ringan sama dijinjing di mana atas dasar persaudaraan, seorang saudara tidak akan sanggup dan tidak senang jika melihat saudaranya yang lain ditimpa kemudharatan. Dia tidak akan keberatan untuk membantu sedaya upaya bagi mengurangkan penderitaan mereka yang bernasib malang. Galakan bersedekah merupakan latihan jiwa atau rohani agar diri seseorang itu mempunyai perasaan halus (peka dan prihatin) dan sebagai tanda bersyukur di atas nikmat yang diberikan oleh Allah S.W.T.

Bersedekah hendaklah disertakan dengan niat yang ikhlas dan jangan menarik balik sedekah yang telah diberikan. Firman Allah yang bermaksud: 
 
 "Jika kamu menampakkan sedekah (mu), maka itu adalah baik sekali. Dan jika kamu menyembunyikannya dan kamu berikan kepada kaum fakir, maka menyembunyikannya itu lebih baik bagimu. Dan Allah akan menghapus dari kamu sebahagian kesalahan-kesalahanmu dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan." 
 
(Al-Baqarah : 271)

Monday, 17 March 2014

::TAZKIRAH - PENYEBAB MASUK SYURGA::



Assalamualaikum Wbt,
RENUNGAN PAGI UNTUK KITA HAYATI BERSAMA. SEMOGA MENDAPAT MANFAAT DARINYA.

Dari jabir r.a katanya, dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: 

Bukan amal seseorang yang memasukkannya ke syurga atau melepaskannya dari neraka, termasuk juga aku, tetapi ialah semata-mata rahmat Allah S.W.T belaka. 

(Hadis Riwayat Muslim)

Huraian:
  • Orang yang beriman sangat yakin akan rahmat dan pertolongan Allah S.W.T. Oleh itu mereka tidak pernah berputus harap dari rahmat-Nya kerana kasih sayang Allah tidak bertepi.
  • Dari Ibnu 'Abbas r.a. Rasulullah bersabda yang bermaksud:  " Allah S.W.T merahmati orang-orang yang dapat menjaga tutur katanya, mengenal masa (ketika dia hidup) itu dan istiqamah dalam hidupnya". (Hadis Riwayat al-Dailami)
    Pusat Islam Universiti
    UPM

    (SUMBER : JaKiM)

Tuesday, 4 February 2014

::TAZKIRAH - MAKRUH MELAMBATKAN SOLAT DARI WAKTUNYA ::

               
RENUNGAN UNTUK KITA HAYATI BERSAMA. SEMOGA MENDAPAT MANFAAT DARINYA.
               

Dari Abu Dzar r.a katanya, Rasulullah s.a.w bertanya: 
 
"Apa yang anda lakukan jika semua pembesar atau pejabat negeri telah sama-sama mengundurkan solat dari waktunya?" 
 
Jawabku: "Apa perintah anda kepadaku?"

Jawab Rasulullah s.a.w:
 
 "Solatlah kamu sendirian pada waktunya! Jika kemudian engkau dapat pula berjamaah bersama-sama mereka, solatlah lagi, dan solatmu itu adalah sunat (keuntungan) bagimu." 
 
(Hadith Riwayat Muslim)
             
PUSAT ISLAM UNIVERSITI
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
(SUMBER : aL-HaDiS)

::Tips Menangani Kemarahan::

Assalammualaikum w.b.t ,
                 
Bismillah. Tuan/Puan yang dirahmati Allah SWT .
                 
Kapsul Psikologi
                   

                       
Apabila diserang emosi 'jahat' ini, cuba petua berikut :...
                     
1. Tarik Nafas
2. Minum Segelas Air
3. Mandi
4. Elak Bercakap
5. Teruskan Mendengar
6. Mari Berjalan
7. Berdoa atau meditasi
8. Dengar Muzik
9. Berfikir Logik
10. Tidak Ada Manusia Sempurna
11. Jangan Penting Diri Sendiri
12. Berkongsi masalah
13. Bersenam
14. Belajar Memaafkan
15. Bersikap matang dan berfikiran jauh

                         
Tidak ada gunanya untuk anda terus menanam sikap marah. Ingatlah kata pujangga "Jika anda bersabar menangani kemarahan, anda akan terlepas dari beratus hari kesedihan!" Jika anda mampu mengawal kemarahan, bermakna anda mampu mengawal masalah dengan tenang. Insya-Allah.
(Perkongsian Datuk Dr Maznah Hamid)
               
Seksyen Bimbingan & Kerjaya Staf
Pejabat Pendaftar
UPM Serdang
tel : 03-8947 1554/1557

Thursday, 30 January 2014

::TAZKIRAH - MEMBANYAKKAN ISTIGHFAR::


RENUNGAN PAGI UNTUK KITA HAYATI BERSAMA. SEMOGA MENDAPAT MANFAAT DARINYA.


Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:�
 
Demi Allah, kalau kamu tidak berdosa, Allah akan menjadikan satu umat lain yang melakukan dosa, lantas mereka beristighfar kepada Allah lalu diampuni dosa mereka. 
 
(Hadis Riwayat Muslim)

Huraian:

Sudah menjadi lumrah bahawa manusia itu tidak boleh lepas daripada kesalahan dan dosa. Hal ini disebabkan adanya sifat lupa, lalai, mengikut hawa nafsu, godaan syaitan dan sebagainya.

Dosa sebenarnya bukanlah perkara yang pelik dan mengaibkan tetapi yang aibnya ialah apabila seseorang itu kekal dalam dosa tanpa rasa ingin kembali bertaubat serta memohon ampun daripada Allah SWT.

Oleh itu beristighfar amatlah dituntut dalam Islam kerana ia boleh menghapuskan dosa perbuatan yang dilakukan. Tetapi sayang, kita sukar sekali mengamalkan istighfar ini padahal ia sungguh ringkas dan mudah sehingga akhirnya bertambah-tambahlah dosa yang dilakukan dari sehari ke sehari lantaran kelalaian dan tabiat suka bertangguh.

PUSAT ISLAM UNIVERSITI
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
(SUMBER : JaKiM)

Tuesday, 28 January 2014

::TAZKIRAH - SEGALANYA TERLETAK PADA HATI::



RENUNGAN UNTUK KITA HAYATI BERSAMA. SEMOGA MENDAPAT MANFAAT DARINYA.


Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:�
 
Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa dan hartamu tetapi Allah melihat kepada hati dan amalmu.�
 
 (Hadis Riwayat:Muslim)

Huraian:
 
Imam al-Ghazali mengatakan bahawa hati menurut pandangan ilmu tasawuf adalah unsur halus yang bersifat metafizik yang berada dalam bentuk hati yang bersifat jasmani. Dia berkata:"Saya hairan dengan manusia yang sangat mengutamakan kebersihan dan keindahan tubuh sedangkan hatinya tidak mereka bersihkan dari kotoran-kotoran batin dan maksiat.
 
Firman Allah dalam surah asy-Syams ayat (7-10) yang bermaksud:  
 
“ Hati di ibaratkan sebagai tuan dan jasad adalah hambanya atau sebagai pemimpin yang mengatur rakyatnya. Maka hati adalah asas atau pusat yang mengatur dan menggerakkan semua aktiviti seseorang. Jika hati baik maka akan baiklah kelakuan seseorang itu dan jika sebaliknya maka buruklah peribadi seseorang itu. Sesungguhnya hati adalah nilaian Allah yuang paling utama dalam setiap amalan yang kita lakukan.”

PUSAT ISLAM UNIVERSITI
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
(SUMBER : JaKiM)

Monday, 27 January 2014

::TAZKIRAH ::

RENUNGAN UNTUK KITA HAYATI BERSAMA. SEMOGA MENDAPAT MANFAAT DARINYA.
BERPADA DENGAN PEMBERIAN ALLAH

Dari Abu Hurairah r.a katanya:�Nabi saw. bersabda yang maksudnya:�
 
Lihatlah kepada orang yang lebih rendah daripadamu dan jangan melihat kepada orang yang lebih tinggi. Itulah tembok yang kukuh supaya kamu tidak menghina pemberian Allah kepadamu.� 
 
(Hadith Riwayat Bukhari)

Huraian:

Selaku insan mukmin, kita tidak harus menyalahkan apa sahaja pemberian Allah SWT apalagi menghinanya kerana jika dihitung-hitung nikmat Allah, nescaya kita tidak akan sanggup menghitungnya lagi disebabkan terlampau banyaknya nikmat tersebut termasuklah pemberian yang tidak kita sedari.

Jika kita mengeluh terhadap-Nya, padahal kita sedang menikmati rahmat-Nya, itu bermakna kita tamak dan menutup mata atas nikmat yang telah kita miliki selama ini dan hal demikian akan menjerumuskan kita ke lembah kekufuran serta mengundang kemurkaan Allah sehingga tiba suatu masa kelak, Allah SWT akan menarik semula segala nikmat pemberian-Nya itu dan menggantikannya dengan kesusahan.

Ketika itulah kita akan menyesal dan celik akan hakikat sebenarnya. Sesungguhnya sebahagian besar musibah yang menimpa manusia adalah disebabkan oleh keluhan-keluhan mereka terhadap-Nya sedangkan Allah itu Maha Pengasih, Maha Adil dan lemah-lembut terhadap hamba-hamba-Nya.
 
PUSAT ISLAM UNIVERSITI
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
(SUMBER : JaKiM)

Wednesday, 22 January 2014

::TAZKIRAH - KHAIRUN NISA’ (Sebaik-baik Perempuan)::

RENUNGAN UNTUK KITA HAYATI BERSAMA. SEMOGA MENDAPAT MANFAAT DARINYA.

Ahmad, an-Nasaie dan al-Hakim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya :
 
?Sebaik-baik wanita ialah yang menyenangkan seorang lelaki apabila ia melihatnya, yang taat kepadanya apabila ia menyuruhnya dan ia tidak menyalahi suaminya dengan sesuatu yang tidak menyukakannya pada dirinya dan hartanya.? 
 
(Hadis Riwayat Muslim)

Huraian:

Rasulullah SAW meletakkan isteri yang baik itu sebagai faktor kebahagiaan seseorang suami. Dengan perkataan lain isteri yang solehah akan menjadikan sesebuah rumah itu ibarat syurga yang menenangkan hati sesiapa sahaja yang bernaung padanya.

Allah berfirman dalam al-Quran mengenai sifat-sifat seorang isteri yang solehah yang rmaksudnya: 
 
"Maka perempuan-perempuan yang baik (solehah) itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipeliharanya) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharaan Allah dan pertolongan-Nya."
 
 (Surah an-Nisaa' ayat 34).

Jika dilihat pada zaman sekarang, ramai isteri-isteri yang tidak lagi menghormati suami mereka bahkan cuba untuk berdiri sama tinggi dengan si suami. Akibatnya kerukunan rumah tangga terancam.

Kes isteri yang meminta cerai daripada si suami bukan lagi perkara luar biasa. Pendek kata keharmonian rumah tangga semakin lama semakin goyah. Kasih sayang antara satu sama lain semakin tipis.

Seharusnya seorang isteri mahupun suami harus sedar kedudukan dan tugas sebenar masing-masing dalam rumah tangga. Kenapa isteri ataupun suami gagal menjadikan pasangan mereka sangat mencintai diri mereka adalah persoalan yang mesti dijawab oleh empunya diri masing-masing.

PUSAT ISLAM UNIVERSITI
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
(SUMBER : JaKiM)

Monday, 20 January 2014

::TAZKIRAH - SYAFAAT RASULULLAH::

RENUNGAN UNTUK KITA HAYATI BERSAMA. SEMOGA MENDAPAT MANFAAT DARINYA.


Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: 
Aku adalah sebagai penjamin yang memberi jaminan untuk seseorang memperolehi sebuah rumah di halaman syurga iaitu bagi orang yang meninggalkan perbuatan berbantahan sekalipun perbantahan itu benar, 
dan juga sebuah rumah di pertengahan syurga bagi orang yang meninggalkan perbuatan dusta sekalipun dengan tujuan bergurau senda, 
dan juga sebuah rumah di puncak syurga bagi orang yang memperbaiki akhlak dan berbudi mulia.
(Hadis Riwayat Abu Daud)

Huraian:

Orang yang suka bertengkar walaupun di dalam perkara yang baik adalah dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya kerana ia adalah antara perbuatan yang keji yang boleh merosakkan hubungan baik di dalam masyarakat.

Orang yang suka bergaduh, berdusta dan tidak berakhlak mulia tidak akan mendapat jaminan dan syafaat daripada Rasulullah s.a.w di akhirat kelak.

Islam melarang umatnya berdusta kerana perbuatan tersebut akan membawa kepada fitnah yang menimbulkan permusuhan seterusnya boleh mencetuskan huru-hara di dalam masyarakat.
Kita hendaklah berusaha untuk memperbaiki akhlak dari semasa ke semasa iaitu dengan meninggalkan segala perbuatan yang dilarang agama.

PUSAT ISLAM UNIVERSITI
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
(SUMBER : JaKiM)

Wednesday, 15 January 2014

::TAZKIRAH - BILA AJAL TELAH TIBA::

RENUNGAN PAGI UNTUK KITA HAYATI BERSAMA. SEMOGA MENDAPAT MANFAAT DARINYA.

Daripada Mathar bin ‘Akamis dan Abu Azzah katanya Rasulullah SAW bersabda: 
 
Apabila Allah telah memutuskan bagi seseorang hamba-Nya bahawa ia akan mati di satu bumi (tempat) nescaya Allah menjadikan sesuatu hajat baginya di tempat itu. 
 
(Hadis Riwayatkan Ahmad dan at-Tirmidzi)

Huraian:
 
Kematian itu tidak semestinya disebabkan oleh penyakit. Dengan perkataan lain, walau bagaimana hebat sekalipun kita menjaga kesihatan, ketentuan Allah itu mendahului segala-galanya kerana ada orang yang sangat teliti dalam penjagaan kesihatan, namun akhirnya menemui ajal dalam kemalangan jalan raya malah banyak lagi kisah-kisah lain yang membuktikan bahawa ajal itu bukan urusan manusia.

Justeru setiap Muslim dituntut agar memohon perlindungan Allah pada setiap waktu dan ketika. Kita juga wajib percaya kepada Qadha' dan Qadar Allah SWT dan segala ketentuan-Nya kerana kita tidak mengetahui bila dan di mana kita menemui ajal.

PUSAT ISLAM UNIVERSITI
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
(SUMBER : JaKiM)

Monday, 13 January 2014

::TAZKIRAH - SEIMBANG DUNIA DAN AKHIRAT::


Dari Abu Hurairah r.a katanya:
 
?Nabi saw. bersabda yang maksudnya:?Sesungguhnya agama (Islam) itu ringan. Sesiapa yang memperberat-beratkannya maka dia akan dikalahkan oleh agama. Oleh itu kerjakanlah (agama itu) mengikut sepatutnya atau mendekatinya dengan yang sepatutnya dan gembiralah (kerana akan beroleh pahala) serta beribadatlah (mohonlah pertolongan Allah) pada waktu pagi, petang dan sebahagian malam.
 
  (Hadis Riwayat Bukhari)

Huraian:

Tujuan ibadah adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Ibadah itu hendaklah dikerjakan sebaik mungkin (menepati kehendak syarak) tanpa melebih-lebihkannya.

Malah apa yang dimaksudkan dalam hadith di atas sebagai “dikalahkan oleh agama “ ialah keadaan seseorang yang menjadi lemah lantaran terlalu kuat mengerjakan ibadah hingga lupa menguruskan keperluan dirinya seperti mencari nafkah menyara hidup ahli keluarga dan sebagainya.

Islam juga menyuruh manusia agar berusaha gigih untuk mencari penghidupan yang baik di dunia dan bukan menumpukan segala usaha untuk bekalan akhirat semata hingga melupakan dunia sewenang-wenangnya sedangkan dunia adalah jambatan ke akhirat.

Oleh itu manusia mestilah bijak menyeimbangkan antara keperluan dunia dan akhirat agar tidak termasuk di kalangan orang-orang yang rugi.

Wednesday, 8 January 2014

::TAZKIRAH - MENGHORMATI JENAZAH::



RENUNGAN UNTUK KITA HAYATI BERSAMA. SEMOGA MENDAPAT MANFAAT DARINYA.


Dari Umar bin Rabi'ah r.a katanya, Nabi s.a.w bersabda:

�Apabila kamu melihat jenazah, berdirilah sehingga ia meninggalkan kamu.� 

(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Huraian:
 
Umat Islam adalah digalakkan untuk mengucapkan takziah kepad sesiapa yang meninggal dunia. Begitu juga setiap jenazah hendaklah dihormati kerana ia merupakan makhluk bernama manusia yang mempunyai maruah.

Sebab itulah Islam menghendaki agar sesiapa yang menguruskan jenazah agar sentiasa berlemah lembut di saat memandikan, mengkafankannya serta menjaga aurat jenazah itu sendiri sebagaimana yang sepatutnya.

Sesungguhnya jasad yang sudah terputus roh dari badan akan merasai kesakitan sekiranya diperlakukan dengan kasar. Bahkan jika dikaji hanya di dalam agama Islam sahaja kita dapati terdapatnya adab-adab tertentu terhadap jenazah di mana kita dilarang sama sekali menyakitinya sama ada dengan percakapan mulut (membicarakan keburukan si mati) apalagi dengan mengasarinya dengan anggota.

PUSAT ISLAM UNIVERSITI
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
(SUMBER : JaKiM)

Monday, 6 January 2014

::TAZKIRAH PAGI - SYURGA YANG DIDAMBAKAN::


RENUNGAN UNTUK KITA HAYATI BERSAMA. SEMOGA MENDAPAT MANFAAT DARINYA.

Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda:
 
�Setiap umatku masuk ke dalam syurga selain orang yang enggan. 
 
Mereka bertanya:�Ya Rasulullah! Siapakah yang enggan itu? 
 
Jawab baginda:�Siapa yang mematuhi perintahku, masuk syurga dan siapa yang melanggar perintahku maka sesungguhnya orang itu enggan.� 
 
(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Huraian:
 
Dunia ini adalah kerajaan Allah SWT. Segala yang ada di alam ini adalah daripada kurniaan rahmat Allah.

Manusia merupakan khalifah Allah, diciptakan untuk memuja Allah dan memikul amanah Allah.

Dunia ini adalah kebun tempat manusia berusaha untuk mematuhi perintah Allah, dan akhirat adalah masa menuai dan menerima balasan daripada Allah. Orang yang berbahagia ialah mereka yang menurut petunjuk Allah dan Rasul-Nya, dan orang yang malang ialah mereka yang membelakangkan diri dari pengajaran Allah dan Rasul-Nya.

Maka manusia yang ditugaskan memikul beban dan tanggungjawab di dunia yang fana dan penuh cabaran ini hendaklah mempunyai persiapan untuk kehidupan yang selamanya di negeri yang abadi di mana kematian adalah jambatan yang menghubungkan antara keduanya yang seterusnya menyampaikan mereka ke suatu tempat sama ada ke syurga atau ke neraka.

PUSAT ISLAM UNIVERSITI
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
(SUMBER : JaKiM)

Tuesday, 31 December 2013

::TAZKIRAH - AKHIR UMUR DUNIA::





RENUNGAN UNTUK KITA HAYATI BERSAMA. SEMOGA MENDAPAT MANFAAT DARINYA.


Nabi SAW bersabda, maksudnya: 


"Sesiapa yang mati pada masa ia dalam keadaan taatkan Allah, beramal soleh, maka ia dibangkitkan oleh Allah hidup kembali dengan keadaan yang menyukakannya; dan sesiapa yang mati pada masa ia dalam keadaan derhaka kepada Allah, berbuat jahat, maka ia dihidupkan kembali dengan keadaan yang mendukacitakannya," 

(Hadis Riwayat Jabir RA)

Huraian:


Sekiranya sewaktu hidup di dunia melakukan perkara yang baik dan meninggalkan perkara yang dilarang, pasti ganjaran pahala sedia menanti.


Sebaliknya, jika perbuatan-perbutan keji yang menjadi amalan hidupnya, catatan dosa pula sedia menanti. Ajal maut adalah ketentuan ilahi. Tidak terawal, atau terlewat, walaupun sedetik. 


Insya-Allah pintu taubat masih terbuka, selagi nyawa belum sampai ke halkum. Sekiranya seseorang mati dalam keadaan beriman, dibangkitkan kelak dalam kedaan gembira. Sebaliknya, apabila mati dalam keadaan derhaka, pasti dibangkitkan dalam keadaan mendukacitakan.


Setiap orang dibangkitkan mengikut amalan masing-masing.

PUSAT ISLAM UNIVERSITI
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
(SUMBER : JaKiM)