Thursday 30 January 2014

::TAZKIRAH - MEMBANYAKKAN ISTIGHFAR::


RENUNGAN PAGI UNTUK KITA HAYATI BERSAMA. SEMOGA MENDAPAT MANFAAT DARINYA.


Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:�
 
Demi Allah, kalau kamu tidak berdosa, Allah akan menjadikan satu umat lain yang melakukan dosa, lantas mereka beristighfar kepada Allah lalu diampuni dosa mereka. 
 
(Hadis Riwayat Muslim)

Huraian:

Sudah menjadi lumrah bahawa manusia itu tidak boleh lepas daripada kesalahan dan dosa. Hal ini disebabkan adanya sifat lupa, lalai, mengikut hawa nafsu, godaan syaitan dan sebagainya.

Dosa sebenarnya bukanlah perkara yang pelik dan mengaibkan tetapi yang aibnya ialah apabila seseorang itu kekal dalam dosa tanpa rasa ingin kembali bertaubat serta memohon ampun daripada Allah SWT.

Oleh itu beristighfar amatlah dituntut dalam Islam kerana ia boleh menghapuskan dosa perbuatan yang dilakukan. Tetapi sayang, kita sukar sekali mengamalkan istighfar ini padahal ia sungguh ringkas dan mudah sehingga akhirnya bertambah-tambahlah dosa yang dilakukan dari sehari ke sehari lantaran kelalaian dan tabiat suka bertangguh.

PUSAT ISLAM UNIVERSITI
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
(SUMBER : JaKiM)

Tuesday 28 January 2014

::TAZKIRAH - SEGALANYA TERLETAK PADA HATI::



RENUNGAN UNTUK KITA HAYATI BERSAMA. SEMOGA MENDAPAT MANFAAT DARINYA.


Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:�
 
Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa dan hartamu tetapi Allah melihat kepada hati dan amalmu.�
 
 (Hadis Riwayat:Muslim)

Huraian:
 
Imam al-Ghazali mengatakan bahawa hati menurut pandangan ilmu tasawuf adalah unsur halus yang bersifat metafizik yang berada dalam bentuk hati yang bersifat jasmani. Dia berkata:"Saya hairan dengan manusia yang sangat mengutamakan kebersihan dan keindahan tubuh sedangkan hatinya tidak mereka bersihkan dari kotoran-kotoran batin dan maksiat.
 
Firman Allah dalam surah asy-Syams ayat (7-10) yang bermaksud:  
 
“ Hati di ibaratkan sebagai tuan dan jasad adalah hambanya atau sebagai pemimpin yang mengatur rakyatnya. Maka hati adalah asas atau pusat yang mengatur dan menggerakkan semua aktiviti seseorang. Jika hati baik maka akan baiklah kelakuan seseorang itu dan jika sebaliknya maka buruklah peribadi seseorang itu. Sesungguhnya hati adalah nilaian Allah yuang paling utama dalam setiap amalan yang kita lakukan.”

PUSAT ISLAM UNIVERSITI
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
(SUMBER : JaKiM)

Monday 27 January 2014

::TAZKIRAH ::

RENUNGAN UNTUK KITA HAYATI BERSAMA. SEMOGA MENDAPAT MANFAAT DARINYA.
BERPADA DENGAN PEMBERIAN ALLAH

Dari Abu Hurairah r.a katanya:�Nabi saw. bersabda yang maksudnya:�
 
Lihatlah kepada orang yang lebih rendah daripadamu dan jangan melihat kepada orang yang lebih tinggi. Itulah tembok yang kukuh supaya kamu tidak menghina pemberian Allah kepadamu.� 
 
(Hadith Riwayat Bukhari)

Huraian:

Selaku insan mukmin, kita tidak harus menyalahkan apa sahaja pemberian Allah SWT apalagi menghinanya kerana jika dihitung-hitung nikmat Allah, nescaya kita tidak akan sanggup menghitungnya lagi disebabkan terlampau banyaknya nikmat tersebut termasuklah pemberian yang tidak kita sedari.

Jika kita mengeluh terhadap-Nya, padahal kita sedang menikmati rahmat-Nya, itu bermakna kita tamak dan menutup mata atas nikmat yang telah kita miliki selama ini dan hal demikian akan menjerumuskan kita ke lembah kekufuran serta mengundang kemurkaan Allah sehingga tiba suatu masa kelak, Allah SWT akan menarik semula segala nikmat pemberian-Nya itu dan menggantikannya dengan kesusahan.

Ketika itulah kita akan menyesal dan celik akan hakikat sebenarnya. Sesungguhnya sebahagian besar musibah yang menimpa manusia adalah disebabkan oleh keluhan-keluhan mereka terhadap-Nya sedangkan Allah itu Maha Pengasih, Maha Adil dan lemah-lembut terhadap hamba-hamba-Nya.
 
PUSAT ISLAM UNIVERSITI
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
(SUMBER : JaKiM)

Wednesday 22 January 2014

::TAZKIRAH - KHAIRUN NISA’ (Sebaik-baik Perempuan)::

RENUNGAN UNTUK KITA HAYATI BERSAMA. SEMOGA MENDAPAT MANFAAT DARINYA.

Ahmad, an-Nasaie dan al-Hakim meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya :
 
?Sebaik-baik wanita ialah yang menyenangkan seorang lelaki apabila ia melihatnya, yang taat kepadanya apabila ia menyuruhnya dan ia tidak menyalahi suaminya dengan sesuatu yang tidak menyukakannya pada dirinya dan hartanya.? 
 
(Hadis Riwayat Muslim)

Huraian:

Rasulullah SAW meletakkan isteri yang baik itu sebagai faktor kebahagiaan seseorang suami. Dengan perkataan lain isteri yang solehah akan menjadikan sesebuah rumah itu ibarat syurga yang menenangkan hati sesiapa sahaja yang bernaung padanya.

Allah berfirman dalam al-Quran mengenai sifat-sifat seorang isteri yang solehah yang rmaksudnya: 
 
"Maka perempuan-perempuan yang baik (solehah) itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipeliharanya) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemeliharaan Allah dan pertolongan-Nya."
 
 (Surah an-Nisaa' ayat 34).

Jika dilihat pada zaman sekarang, ramai isteri-isteri yang tidak lagi menghormati suami mereka bahkan cuba untuk berdiri sama tinggi dengan si suami. Akibatnya kerukunan rumah tangga terancam.

Kes isteri yang meminta cerai daripada si suami bukan lagi perkara luar biasa. Pendek kata keharmonian rumah tangga semakin lama semakin goyah. Kasih sayang antara satu sama lain semakin tipis.

Seharusnya seorang isteri mahupun suami harus sedar kedudukan dan tugas sebenar masing-masing dalam rumah tangga. Kenapa isteri ataupun suami gagal menjadikan pasangan mereka sangat mencintai diri mereka adalah persoalan yang mesti dijawab oleh empunya diri masing-masing.

PUSAT ISLAM UNIVERSITI
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
(SUMBER : JaKiM)

Monday 20 January 2014

::TAZKIRAH - SYAFAAT RASULULLAH::

RENUNGAN UNTUK KITA HAYATI BERSAMA. SEMOGA MENDAPAT MANFAAT DARINYA.


Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: 
Aku adalah sebagai penjamin yang memberi jaminan untuk seseorang memperolehi sebuah rumah di halaman syurga iaitu bagi orang yang meninggalkan perbuatan berbantahan sekalipun perbantahan itu benar, 
dan juga sebuah rumah di pertengahan syurga bagi orang yang meninggalkan perbuatan dusta sekalipun dengan tujuan bergurau senda, 
dan juga sebuah rumah di puncak syurga bagi orang yang memperbaiki akhlak dan berbudi mulia.
(Hadis Riwayat Abu Daud)

Huraian:

Orang yang suka bertengkar walaupun di dalam perkara yang baik adalah dibenci oleh Allah dan Rasul-Nya kerana ia adalah antara perbuatan yang keji yang boleh merosakkan hubungan baik di dalam masyarakat.

Orang yang suka bergaduh, berdusta dan tidak berakhlak mulia tidak akan mendapat jaminan dan syafaat daripada Rasulullah s.a.w di akhirat kelak.

Islam melarang umatnya berdusta kerana perbuatan tersebut akan membawa kepada fitnah yang menimbulkan permusuhan seterusnya boleh mencetuskan huru-hara di dalam masyarakat.
Kita hendaklah berusaha untuk memperbaiki akhlak dari semasa ke semasa iaitu dengan meninggalkan segala perbuatan yang dilarang agama.

PUSAT ISLAM UNIVERSITI
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
(SUMBER : JaKiM)

Wednesday 15 January 2014

::TAZKIRAH - BILA AJAL TELAH TIBA::

RENUNGAN PAGI UNTUK KITA HAYATI BERSAMA. SEMOGA MENDAPAT MANFAAT DARINYA.

Daripada Mathar bin ‘Akamis dan Abu Azzah katanya Rasulullah SAW bersabda: 
 
Apabila Allah telah memutuskan bagi seseorang hamba-Nya bahawa ia akan mati di satu bumi (tempat) nescaya Allah menjadikan sesuatu hajat baginya di tempat itu. 
 
(Hadis Riwayatkan Ahmad dan at-Tirmidzi)

Huraian:
 
Kematian itu tidak semestinya disebabkan oleh penyakit. Dengan perkataan lain, walau bagaimana hebat sekalipun kita menjaga kesihatan, ketentuan Allah itu mendahului segala-galanya kerana ada orang yang sangat teliti dalam penjagaan kesihatan, namun akhirnya menemui ajal dalam kemalangan jalan raya malah banyak lagi kisah-kisah lain yang membuktikan bahawa ajal itu bukan urusan manusia.

Justeru setiap Muslim dituntut agar memohon perlindungan Allah pada setiap waktu dan ketika. Kita juga wajib percaya kepada Qadha' dan Qadar Allah SWT dan segala ketentuan-Nya kerana kita tidak mengetahui bila dan di mana kita menemui ajal.

PUSAT ISLAM UNIVERSITI
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
(SUMBER : JaKiM)

Monday 13 January 2014

::TAZKIRAH - SEIMBANG DUNIA DAN AKHIRAT::


Dari Abu Hurairah r.a katanya:
 
?Nabi saw. bersabda yang maksudnya:?Sesungguhnya agama (Islam) itu ringan. Sesiapa yang memperberat-beratkannya maka dia akan dikalahkan oleh agama. Oleh itu kerjakanlah (agama itu) mengikut sepatutnya atau mendekatinya dengan yang sepatutnya dan gembiralah (kerana akan beroleh pahala) serta beribadatlah (mohonlah pertolongan Allah) pada waktu pagi, petang dan sebahagian malam.
 
  (Hadis Riwayat Bukhari)

Huraian:

Tujuan ibadah adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Ibadah itu hendaklah dikerjakan sebaik mungkin (menepati kehendak syarak) tanpa melebih-lebihkannya.

Malah apa yang dimaksudkan dalam hadith di atas sebagai “dikalahkan oleh agama “ ialah keadaan seseorang yang menjadi lemah lantaran terlalu kuat mengerjakan ibadah hingga lupa menguruskan keperluan dirinya seperti mencari nafkah menyara hidup ahli keluarga dan sebagainya.

Islam juga menyuruh manusia agar berusaha gigih untuk mencari penghidupan yang baik di dunia dan bukan menumpukan segala usaha untuk bekalan akhirat semata hingga melupakan dunia sewenang-wenangnya sedangkan dunia adalah jambatan ke akhirat.

Oleh itu manusia mestilah bijak menyeimbangkan antara keperluan dunia dan akhirat agar tidak termasuk di kalangan orang-orang yang rugi.

Wednesday 8 January 2014

::TAZKIRAH - MENGHORMATI JENAZAH::



RENUNGAN UNTUK KITA HAYATI BERSAMA. SEMOGA MENDAPAT MANFAAT DARINYA.


Dari Umar bin Rabi'ah r.a katanya, Nabi s.a.w bersabda:

�Apabila kamu melihat jenazah, berdirilah sehingga ia meninggalkan kamu.� 

(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Huraian:
 
Umat Islam adalah digalakkan untuk mengucapkan takziah kepad sesiapa yang meninggal dunia. Begitu juga setiap jenazah hendaklah dihormati kerana ia merupakan makhluk bernama manusia yang mempunyai maruah.

Sebab itulah Islam menghendaki agar sesiapa yang menguruskan jenazah agar sentiasa berlemah lembut di saat memandikan, mengkafankannya serta menjaga aurat jenazah itu sendiri sebagaimana yang sepatutnya.

Sesungguhnya jasad yang sudah terputus roh dari badan akan merasai kesakitan sekiranya diperlakukan dengan kasar. Bahkan jika dikaji hanya di dalam agama Islam sahaja kita dapati terdapatnya adab-adab tertentu terhadap jenazah di mana kita dilarang sama sekali menyakitinya sama ada dengan percakapan mulut (membicarakan keburukan si mati) apalagi dengan mengasarinya dengan anggota.

PUSAT ISLAM UNIVERSITI
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
(SUMBER : JaKiM)

Monday 6 January 2014

::TAZKIRAH PAGI - SYURGA YANG DIDAMBAKAN::


RENUNGAN UNTUK KITA HAYATI BERSAMA. SEMOGA MENDAPAT MANFAAT DARINYA.

Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda:
 
�Setiap umatku masuk ke dalam syurga selain orang yang enggan. 
 
Mereka bertanya:�Ya Rasulullah! Siapakah yang enggan itu? 
 
Jawab baginda:�Siapa yang mematuhi perintahku, masuk syurga dan siapa yang melanggar perintahku maka sesungguhnya orang itu enggan.� 
 
(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Huraian:
 
Dunia ini adalah kerajaan Allah SWT. Segala yang ada di alam ini adalah daripada kurniaan rahmat Allah.

Manusia merupakan khalifah Allah, diciptakan untuk memuja Allah dan memikul amanah Allah.

Dunia ini adalah kebun tempat manusia berusaha untuk mematuhi perintah Allah, dan akhirat adalah masa menuai dan menerima balasan daripada Allah. Orang yang berbahagia ialah mereka yang menurut petunjuk Allah dan Rasul-Nya, dan orang yang malang ialah mereka yang membelakangkan diri dari pengajaran Allah dan Rasul-Nya.

Maka manusia yang ditugaskan memikul beban dan tanggungjawab di dunia yang fana dan penuh cabaran ini hendaklah mempunyai persiapan untuk kehidupan yang selamanya di negeri yang abadi di mana kematian adalah jambatan yang menghubungkan antara keduanya yang seterusnya menyampaikan mereka ke suatu tempat sama ada ke syurga atau ke neraka.

PUSAT ISLAM UNIVERSITI
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
(SUMBER : JaKiM)